Home
Profile
Product
Testimony
Gallery

History

Semasa di sekolah rendah, yang semua pelajarnya terdiri daripada pelajar Melayu, saya sentiasa mendapat tempat-tempat teratas di dalam kelas, dan markah tertinggi di dalam bidang Matematik. Bila memasuki sekolah menengah pada 1969, ‘ketewasan’ dengan pelajar-pelajar Cina di dalam Matematik akhirnya menyebabkan ‘ketakutan’ kepada cikgu matematik semakin bertambah, lantaran pelajar Cina dapat menyiapkan kerja rumah dan kerja kelas mereka dalam waktu yang jauh lebih pantas tetapi saya sentiasa tidak menyiapkan kerja rumah, berbanding dengan di sekolah rendah dulu.

Ia menjadi kian misteri bila di sepanjang masa di bangku sekolah menengah , saya mendapati bahawa selemah-lemah pelajar Cina, umumnya Matematik adalah subjek yang paling senang dan sepandai-pandai pelajar Melayu , Matematik merupakan subjek yang paling menggerunkan mereka. Misteri ini terjawab bila pada bulan Febuari 1986, saya berpeluang mengajar seorang kanak-kanak Cina secara sambilan, di mana saya menyedari bahawa sebutan nombor di dalam lebih daripada 600 dialek di dalam bahasa Cina adalah terdiri daripada sebutan monosyllable bagi nombor-nombor asasnya (0-10), begitu juga sebutan nombor asas bagi bangsa-bangsa yang tidak ‘mengidap’ sindrom lemah Matematik.

Mulanya saya menghantar surat kepada Perdana Menteri dengan salinan kepada ramai tokoh politik , akademik dan sebagainya, meminta supaya Matematik diajar di dalam bahasa Inggeris bagi mengatasi masalah murid Melayu lemah Matematik. Surat terakhir yang saya hantar pada 1989 sepanjang 200 muka surat tidak juga berbalas, lalu saya mengusahakan penerbitannya, diterbitkan sebagai ‘Bahasa dan Tamadun Bangsa’ (1990) dan diterbitkan dengan wajah baru setahun kemudiannya di bawah tajuk ‘Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi’ dan diedar ke hampir semua kedai buku di seluruh Negara. Tiba-tiba Utusan Malaysia membuat preview ekslusif terhadap buku tersebut dan menyifatkannya sebagai buku yang wajib dibaca oleh setiap rakyat yang mahu berjaya (Utusan Malaysia, 17hb Julai 1991).

Tidak lama kemudian saya dapati banyak ucapan pemimpin yang bagaikan ada kaitan dengan kandungan buku tersebut.

Kegagalan saya menjadikan anak-anak lebih cekap dengan Matematik menggunakan bahasa Inggeris yang saya paksakan ke atas mereka semasa membuat aktiviti atau latihan Matematik di rumah akhirnya melahirkan Kaedah Mokhdar, di mana suatu malam, pada hujung tahun 1989, selepas menangisi anak-anak saya yang semakin lemah prestasi mereka di dalam subjek Matematik malah semua subjek-subjek lain selepas satu tahun mereka dipaksa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pemikiran dan bahasa aktiviti Matematik mereka , akhirnya saya mendapat ilham, kenapa tidak dipendekkan sahaja sebutan nombor di dalam bahasa Melayu menjadi pendek kerana walaupun sebutan nombor di dalam bahasa Inggeris adalah pendek, namun ketiadaan suasana bahasa Inggeris di dalam minda dan persekitaran mereka menyebabkan penggunaan bahasa Inggeris bagi melonjakkan prestasi minda mereka jadi langkah yang gagal.

Mulanya saya pendekkan sahaja nombor satu hingga sepuluh. Selepas melihat hasilnya, saya katakana kenapa tidak pendekkan nombor 11 hingga 19 menjadi sebutan satu suku kata juga? Hasilnya lebih memberansangkan, akhirnya saya berkata, kenapa tidak pendekkan sahaja nombor 20 hingga 100? Seterusnya saya mendapati bahawa nombor yang lebih daripada 100 juga boleh dipendekkan, sekiranya ia bertengahkan sifar, enam belas, satu dan yang terakhir, dua.

Bertahun selepas itu mulailah pula terfikirkan, jika sebutan nombor boleh dipendekkan, kenapa sebutan simbol tidak dipendekkan sama? Malangnya semua sebutan pendek di dalam bahasa Melayu bagi hampir semua simbol telah diberi kepada angka-angka , lalu saya memperkenalkan sebutan-sebutan lain yang tidak ada di dalam bahasa Melayu – saya ‘hentam’ sahaja asalkan ia praktikal dan mudah digunakan. Hasilnya, saya dapati bahawa ingatan terhadap angka dan simbol menjadi jauh lebih mudah dan ini menghasilkan daya ingatan spontan dan berkekalan lama terhadap rumus-rumus dan fakta yang panjang dan komplikated di dalam subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Statistik, Ekonomi, Perakaunan dan sebaginya.

Seterusnya didapati bahawa fakta-fakta Sains dan Matematik jadi jauh lebih mudah diingat jika ia dijadualkan dan fakta-fakta tersebut disebut secara Mokhdar bagi menghasilkan daya ingatan yang berpanjangan. Malah menggunakan kaedah Mokhdar sebagai bahasa minda semasa menggerakkan buah-buah abakus atau menekan kekunci kalkulator atau computer juga menghasilkan penggunaaan alat-alat tersebut jauh lebih mudah dan berkesan.

Amalkanlah penggunaan kaedah ini, kerana ia amat mudah terutamanya bagi orang yang mempunyai pengetahuan asas di dalam bahasa Melayu kerana ia disintesiskan daripada bahasa Melayu. Kaedah-kaedah lain yang diambil dari barat seperti kaedah memadankan huruf dengan nombor, pegging dan sebagainya, bukan sahaja sukar digunakan, susah dipelajari, tidak boleh pula digunakan untuk mengira atau berfikir cepat, malah penggunaaannya hanyalah sekadar untuk mengingat angka sedangkan jika diaplikasikan di dalam pengajian Matematik, ia menyebabkan kekeliruan dengan fungsi algebra dan lain-lain.






Fyvoeight Resources, No 23 & 25, Jalan Pusat BCH 1/3, Bandar Country Homes, 48000 Rawang, Selangor | Tel: 03-67334405; 03-67334406; 019-2605162; 017-6521730 Fax: 03-67334402 | e-mail: mokhtarhjmansor@gmail.com